Lima pemain skuad Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal memperkuat pasukan Asean All-Stars bagi menghadapi pasukan kebangsaan Indonesia pada perlawanan amal di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 11 Mei ini.
Lima pemain itu yang juga pemain skuad Harimau Malaya ialah Mohd Amri Yahyah, Mahalli Jasuli, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safiq Rahim dan Mohd Safee Sali.
Ketika mengumumkannya, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pemilihan mereka diputuskan oleh badan induk kebangsaan itu berdasarkan persembahan semasa bersama skuad 'Harimau Selatan' dalam saingan Liga Malaysia.
FAM turut memilih bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dan Tan Cheng Hoe masing-masing sebagai ketua dan penolong jurulatih untuk pasukan itu, yang bakal dianggotai oleh beberapa pemain daripada liga di rantau Asean.
"Ini merupakan penghormatan kepada Malaysia dan AFF dalam mengadakan lebih banyak perlawanan amal (pada masa akan datang)," katanya dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya dekat sini, hari ini.
Perlawanan amal itu diadakan bagi mengutip dana dalam membantu mangsa taufan Haiyan yang melanda Tacloban, Filipina pada November tahun lepas.
Dalam pada itu, Hamidin berkata penyertaan skuad Harimau Muda B (bawah 21) kendalian Razip Ismail dalam Liga Singapura (Liga-S) bertujuan memberi pengalaman dalam bersaing di pentas lebih tinggi.
Menurutnya walaupun skuad muda negara itu belum meraih kemenangan dalam aksi di Liga-S ketika ini, badan induk kebangsaan itu lebih memberikan keutamaan dalam memastikan para pemain mendapat pendedahan berguna terutamanya beraksi di luar negara.
Penyertaan skuad Harimau Muda B dalam Liga-S mendapat kecaman daripada beberapa bekas pemain kebangsaan baru-baru susulan persembahan memalukan selepas mencatat sembilan kekalahan selain melepaskan 29 gol.
Pasukan berkenaan kini berada di tangga terbawah daripada 12 pasukan dalam Liga-S.
- BERNAMA
0 komen:
Post a Comment