Nama | Siti Safiyah Amirah Abd Rahman | | |
Umur | 19 Tahun | ||
Asal | Subang Jaya, Selangor | ||
Tarikh Lahir | 14 November 1990 | ||
Sekolah | Sek Menengah Kebangsaan USJ, Subang Jaya | ||
Sukan | Boling | ||
Idola | Earl Anthony (Amerika Syarikat), Wu Siu Hung (Hong Kong), Shalin Zulkifli | ||
Jurulatih | Husin Omar, Holloway Cheah |
Pencapaian
2004 - Juara Remaja Milo All Stars; 2005 - Terbuka Antarabangsa Malaysia, Juara Terbuka Indonesia kategori remaja, emas Masters Sekolah-Sekolah Asia, naib juara Jelajah ABF Indonesia, naib juara kejohanan kebangsaan; 2006 - Emas berpasukan Kejohanan Remaja Dunia; 2007 - Emas berpasukan Sukan Sea; 2008 - Perak berpasukan Kejohanan Asia
Siti Safiyah Bagai Bintang Kejora
KUALA LUMPUR: Kalau tenpin bowling, boling padang dan skuasy adalah 'keluarga' Sukan Olimpik, sudah lama nama Malaysia antara negara yang pernah meraih pingat emas.
Yang pasti setiap Sukan Olimpik - mungkin seawal 1970an lagi - ada saja pemain negara yang akan menamat saingan di atas podium kalaupun tidak lagu NegaraKu berkumandang.
Ini kerana sejak 1970an kita tidak pernah kering dengan bakat bertaraf dunia khususnya dari skuasy dan bowling. Malangnya sukan ini tidak mendapat tempat sebaliknya sukan yang kurang 'fizikal' seperti memanah, menembak dan berkuda, telah lama menjadi keluarga besar sukan terulung dunia itu.
Sukan terbabit diterima atas alasan tradisi. Tetapi kita percaya, jika ada kesungguhan politik di kalangan pemimpin Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), suda lama skuasy dan bowling boleh diterima kerana ia tidak ada bezanya dengan tenis dan memanah juga menembak.
Namun demikian, sekalipun tanpa peluang ke Sukan Olimpik, Malaysia terus melahirkan bintang bowling bertaraf dunia. Siapa tidak kenal dengan beberapa nama jagoan lelaki seperti PS Nathan, JB Khoo, Michael Chuah, Kenny Ang, Zulmazran Zulkefli juga barisan wanita seperti Pearly Chong, Lydia Kwah, Lisa Kwan, Shalin Zulkefli serta Wendy Chai.
Kini menyusul pula nama baru - Siti Safiyah Amirah Abd Rahman. Ia mungkin baru bagi peringkat senior tetapi ketika jika dibongkar kembali rekod pencapaian masa lalu, ia sebenarnya, bintang dalam pembikinan seawal tahun 2004.
Pada usia yang akan mencecah 19 tahun pada 14 November depan, Siti Safiyah sudah memahat namanya sebagai pemain nombor satu dunia selepas muncul juara Ranking Masters Dunia di Itali pada awal Mei 2009 - ketika namanya langsung tidak ada dalam senarai awal peserta.
Ia bagaikan mengulangi 'cerita dongeng' yang penah dilalui Denmark pada Kejohanan Euro 1992. Negara Scandinavia itu langsung tidak layak ke pusingan akhir di Sweden. Tetapi mereka menjadi pilihan menggantikan tempat Yugoslavia yang tidak dapat mengambil bahagian kerana terbabit dalam peperangan.
Mereka melakukan kejutan, menewaskan juara dunia, Jerman 2-0 pada final selepas menewaskan penyandang juara, Belanda menerusi penalti pada separuh akhir.
Demikian juga detik yang dilalui Siti Safiyah, anak tunggal kepada pasangan Abd Rahman Mohd Shariff, 52 dan ibu, Faudziah Mokhtar, 48.
Dia tidak layak untuk menyertai kejohanan di Naples itu tetapi tuah memihaknya apabila Wendy Chai yang mewakili negara secara merit, tidak dapat turut serta kerana cedera. Dia menjadi galang ganti. Lebih perit pemergiannya atas tanggungan sendiri kerana Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) enggan menanggungnya.
Pada aksi awal, Siti Safiyah yang merakamkan 1,689 jatuhan pin menenggelamkan dua lagi wanita kita, Shalin Zulkefli dan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi. Pada aksi final dia menewaskan Tina Hulsch dari Jerman 215-199 dan 175-166 bagi kemenangan 2-0 pada pusingan akhir yang diadakan di Oltremare Bowling Arena.
Siti Safiyah muncul pemain wanita kedua Malaysia meraih gelaran itu. Wendy Chai melakukannya di Senayan Sportainment, Jakarta pada 2008.
Kehebatan Siti Safiyah bermula lama dulu apabila dinobat juara remaja Terbuka Indonesia pda 2004.
Dia mula aktif seawal usia 9 tahun dan mula mengenali Sunway Pyramid. Minat berputik apabila sering menemani ayahnya yang aktif menyertai kejohanan bowling.
"Tetapi, sekarang saya hanya berkongsi minat dengan ibu, Fauziah Mokhtar kerana ayah tidak lagi bermain bowling kerana beralih angin kepada golf. Saya juga pernah mencuba bermain golf, tetapi tak tahan dengan cuaca panas. Lagipun, saya fikir saya lebih baik dalam bowling," katanya.
Melihat kepada kecenderungannya itu, ayahnya memberi peluang Siti Safiyah atau 'Sofi' mendapat sentuhan yang betul dengan berguru kepada Husin Omar sebelum dilatih Holloway Cheah.
Pada 2005, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman membuat kejutan dan sejarah apabila menewaskan pemain kebangsaan untuk muncul pemain termuda menjuarai Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-28 yang turut menyaksikan dia memadam rekod Shalin sebagai pemain termuda memenangi kejohanan sama pada1996. Shalin ketika itu berusia 18 tahun.
Sejak kejayaan itu dia menanam hajat besar untuk menjadi juara dunia dan impiannya sudah terlaksana tepat pada waktunya.
0 komen:
Post a Comment